Bahagian 1: Ibadah Qurban dan Kaifiatnya

Ibadah Qurban dan Kaifiatnya

Assalamualaikum...

Kami ingin berkongsi serba sedikit tentang Ibadah Qurban dan kaifiatnya. Ini adalah sebagai pengingat kepada kami sendiri dan kepada seluruh umat islam khususnya di Malaysia tentang maksud, tatacara dan hukum yang berkaitan yang mungkin kita terlupa. Mohon pencerahan daripada ahli-ahli agama yang lebih fasih jika terdapat khilaf daripada post ini. InsyaAllah.

Tafsiran QURBAN
Qurban bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub kepada Allah pada masa-masa tertentu. Ia juga diertikan sebagai ternakan an'am yang disembelih pada hari Nahar dengan tujuan bertaqarrub kepada Allah.

Terdapat dua jenis Qurban:
  • Qurban Nazar - iaitu qurban yang wajib bagi individu yang berazam untuk melakukan qurban nazar
  • Qurban Sunat - iaitu qurban bukan niat bernazar. Ia dikira sunat kerana tidak ada sebab mewajibkannya
Hukum ibadah Qurban ialah Sunat Muakkad. 

Dalil pensyariatan ibadah qurban adalah berasaskan kepada al-Quran merujuk kepada surah al-Kauthar ayat 2, surah al-Hajj ayat 36 dan surah al-Saafat ayat 107. Manakala dalil pensyariatan berasaskan Sunnah ialah daripada hadith Aisyah yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Majah dan hadith Anas yang diriwayatkan oleh Muslim. Menurut pandangan jumhur ulama hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat (sunat muakkadah) bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulama mazhab Shafi‘i adalah sunat ’ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup. Menurut pandangan yang masyhur di kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan qurban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.

Hukum Daging Qurban
  • Ditegah memakan daging bagi orang yang melakukan qurban nazar (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagai mana juga ditegah memberikan daging qurban tersebut kepada orang bukan Islam.
  • Manakala hukum pemberian daging qurban sunat kepada orang bukan Islam, para ulama memberi padangan yang berbeza-beza.
Kulit, lemak, daging, susu, kaki, kepala dan bulu-bulunya haram dijual oleh orang melakukan ibadah qurban sama ada wajib atau sunat.
Bahagian atau anggota sembelihan qurban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan qurban.
Sunat bagi individu yang melakukan qurban sunat (tatawu’)memakan daging qurbannya.

Pembahagian daging qurban sunat ada beberapa cara iaitu:

(a) Menurut pandangan ulama mazhab Hanafi dan Hanbali23 daging qurban dibahagikan kepada tiga bahagian berasaskan kepada hadith Ibn Abbas seperti yang berikut:

1/3 - untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan
ahli keluarganya.
1/3 - untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.
1/3 - untuk dihadiahkan kepada sahabat handai
termasuk orang kaya atau jiran-jiran atau saudaranya.

Kami juga membekalkan baka-baka kambing yang berkualiti, dan khidmat nasihat untuk ternakan, untuk maklumat lanjut bolehlah hubungi admin
-Admin

Kaedah Sembelihan Cara Islam Adalah Yang Terbaik




Islam adalah agama rahmat-kasih sayang untuk seluruh manusia bahkan kepada haiwan. Perhatikanlah bagaimana peraturan Islam dalam penyembelihan binatang ternakan. Cara penyembelihan Islam juga adalah sangat baik untuk kesihatan.
TUNTUTAN mendapatkan makanan halal menjadi perkara penting bagi setiap Muslim. Ini kerana ia adalah perintah daripada Allah melalui rasul-Nya. Pemakanan halal adalah diantara ciri utama dalam pembentukan fizikal sihat, khususnya bagi perkembangan minda serta hati manusia.
Pengetahuan tepat serta menyeluruh mengenai kaedah penyembelihan yang mengikut lunas syariat amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor kesihatan.Tambahan lagi, konsep sembelihan dalam Islam atau ‘zabiha’ juga perlu dihuraikan sebaik mungkin agar ibadat ini tidak dilihat sebagai satu perbuatan menyeksa haiwan secara kejam dan perlahan, berdasarkan pandangan masyarakat bukan Islam yang melihatnya hampir setiap tahun menjelang Aidiladha.
 Islam meletakkan garis panduan dalam penyembelihan haiwan. Buku bertajuk Halal dan Haram dalam Islam Oleh Syeikh Muhammad Yusuf Qardhawi menghuraikan kaedah dan syarat penyembelihan berdasarkan al-Quran dan sunnah. Penyembelihan harus menggunakan objek tajam. Kaedah ini untuk meminimumkan kesakitan haiwan ketika disembelih. 



Sabda Nabi saw bermaksud: 
“Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik kepada sesuatu. Oleh itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara menyembelihnya dan tajamkanlah pisaunya serta mudahkanlah penyembelihannya itu”
-(Hadis riwayat Muslim)-
Penyembelihan harus dilakukan pada leher haiwan itu, iaitu pada bahagian urat nadi atau kerongkongnya. Setiap penyembelihan perlu dimulakan dengan Bismillah.

Firman Allah bermaksud: 
“Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya”
-(Surah al-An’aam, ayat 118)-

Fakta saintifik membuktikan bagi setiap penyembelihan, darah haiwan itu perlu dialir keluar. Ini kerana darah adalah medium terbaik bagi mikro organisma membiak. Bahagian ‘spinal cord’ hendaklah dielakkan daripada terpotong ketika sembelihan dilakukan kerana ia akan menyekat aliran darah keluar akibat daripada saluran darah terganggu kesan daripada jantung haiwan terhenti secara tiba-tiba.

Dr Zakir Naik, seorang doktor dan pendakwah Islam antarabangsa menyenaraikan kepentingan serta kebaikan penyembelihan mengikut hukum syarak. Kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik dan bersih. Ini kerana darah yang menjadi punca pembiakan kuman, bakteria dan toksin yang akan menyebabkan beberapa penyakit dikeluarkan sejurus selepas proses penyembelihan. Selain itu, daging sembelihan kekal segar dalam satu tempoh yang lama.

Kaedah penyembelihan Islam juga tidak menyebabkan kesakitan kepada haiwan itu. Ini kerana saluran darah serta saraf yang menghubungkan ke otak yang boleh menyebabkan rasa sakit terputus. Maka keadaan dimana haiwan bertindak balas secara tiba-tiba dalam keadaan agresif bukan kerana kesakitan, tetapi kesan tindak balas otot yang berlaku apabila darah mengalir keluar.

Profesor Schultz dan rakannya Dr Hazim dari Universiti Hanover, Jerman, membuktikan melalui eksperimen dengan menggunakan alatan saintifik seperti Electroencephalograph (EEG) dan Electrocardiogram (ECG) menunjukkan kaedah sembelihan Islam adalah terbaik. Tiga saat pertama selepas kaedah sembelihan cara Islam dilakukan, EEG tidak menunjukkan sebarang perubahan graf. Ini menunjukkan haiwan itu tidak mengalami sebarang kesakitan secara tiba-tiba selepas penyembelihan. 
Kemudian, selepas tiga saat yang seterusnya, EEG merekodkan keadaan yang dinamakan sebagai ‘deep sleep’ dimana, haiwan mengalami keadaan tidak sedarkan diri kesan daripada darah yang mengalir keluar dari tubuh haiwan itu. Akhir sekali, EEG pada paras 0 menunjukkan tiada tanda-tanda kesakitan selepas enam saat eksperimen dilakukan. Kaedah ujian saintifik hari ini membuktikan kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik.

Seterusnya menunjukkan Islam amat mementingkan kebersihan serta kesihatan. Pemilihan pemakanan yang halal penting dalam memastikan tahap kesihatan sentiasa berada di tahap yang memuaskan agar memperoleh tenaga yang secukupnya untuk beribadat. Oleh itu, Muslim perlu menilai dan meneliti sumber pemakanannya agar datang dari sumber yang halal bukan meragukan.

Perihal Aqiqah & Qurban

FADHILAT QURBAN & AQIQAH


Kedua-dua ibadah ini adalah antara amalan mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar fadhilatnya, tetapi malangnya masih ramai orang yang kurang kefahaman mengenainya, sehinggakan ada yang memandang ringan walaupun mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan Qurban dan Aqiqah ini. Semoga dengan penjelasan yang serba sedikit ini dapat membantu kefahaman kita semua tentang ibadat Qurban serta Aqiqah serta keinginan untuk sama-sama mencari pahala kedua ibadah ini akan meningkat.

Apakah sebenarnya qurban dan aqiqah itu? 
Apakah hukum melakukannya?  
Berapa kali kita dituntut melakukan qurban sepanjang hayat kita?  
Apakah syarat-syarat binatang yang dikorbankan? 
Apakah perbezaan antara qurban dan aqiqah? 
Bolehkah seekor lembu dikongsi sebahagian untuk qurban dan sebahaian untuk aqiqah? Apakah hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua ibadah itu?

Demikianlah antara masalah yang akan cuba kita kupas serta perjelaskan dibahagian ini dan disamping itu akan dijelaskan beberapa perkara berkaitan dengan ibadah Qurban dan Aqiqah, semoga memberi kefahaman yang jelas hingga kita dapat menghayatinya dengan penuh keimanan kerana menjunjung perintah Allah s.w.t. dan mendapat fadhilat daripada amalan yang akan kita lakukan ini.




PENYEMBELIHAN QURBAN

Qurban ialah penyembelihan binatang qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat 'Idil Adhha) dan hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah kerana beribadah kepada  Allah s.w.t. , iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. 

Firman  Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi'ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur."
-(surah al-Haj:36)-
 "Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah."
-(Surah al-Kauthar:2)-
Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu."
-(Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)-
Zaid bin Arqam berkata:
"Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim." Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan." Mereka bertanya: "maka bulu yang halus pula?Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan."
-(Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)-

HUKUM BERQURBAN

Hukumnya Sunnat Muakkad (Sunnat yang dikuatkan) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
  • Islam
  • Merdeka (Bukan hamba)
  • Baligh lagi berakal
  • Mampu untuk berqurban
Sabda  Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
 "Aku disuruh berqurban dan ia sunnat bagi kau."
-(Riwayat al-Turmuzi)-
 "Telah diwajibkan kepada ku qurban dan tidak wajib bagi kamu."
-(Riwayat Daruqutni)-
Walaupun hukum berqurban itu sunnat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan. Sabda  Rasullullah s.a.w yang bermaksud: 
"Sesiapa yang bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia melakukannya."
-(Sila Rujuk: Fiqh al-Sunnah)-

PERLAKSANAAN QURBAN
  • Binatang yang diqurbankan daripada jenis unta, lembu atau kerbau, kambing biasa yang berumur dua tahun, jika biri-biri telah berumur satu tahun atau telah gugur giginya sesudah enam bulan meskipun belum cukup satu tahun.
  • Binatang itu disyaratkan tidak cacat, tidak buta sebelah atau kedua-duanya, kakinya tidak pincang, tidak terlalu kurus, tidak terpotong lidahnya, tidak mengandung atau baru melahirkan anak, tidak berpenyakit atau berkudis. Binatang yang hendak disembelih itu mestilah sihat sehingga kita sayang kepadanya.
  • Waktu menyembelihnya sesudah terbit matahari pada Hari Raya Haji dan sesudah selesai solat 'Id dan dua khutbah pendek, tetapi afdhalnya ialah ketika matahari naik segalah pada Hari Raya Hhaji sehingga tiga hari sesuadah Hari Raya Haji (hari-hari Tastriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah)
  • Daging qurban sunnat, orang yang berkorban disunnatkan memakan sedikit daging qurbannya. Pembahagian daging qurban sunnat terdapat tiga cara yang utamanya adalah mengikut urutan sepererti berikut:
  1. Lebih utama orang yang berqurban mengambil hati binatang qurbannya dan baki seluruh dagingnya disedekahkan
  2. Orang yang berqurban itu mengambil satu pertiga daripada jumlah daging qurban, dua pertiga lagi disedekahkannya.
  3. Orang yang berqurban mengambil satu pertiga daripada jumlah daging, satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada orang yang mampu. Sabda  Rasullullah s.a.w: 
     "Makanlah oleh kamu sedekahkanlah dan simpanlah."
HIKMAH DAN FADHILAT
  • Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
  • Mendidik jiwa kearah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
  • Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta kejalan Allah s.w.t.
  • Menghapuskan dosa dan mengharap keredhaan  Allah s.w.t.
  • Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
  • Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim diakhirat kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: 
    "Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu dititian pada hari kiamat."
 Jika anda ingin mendapatkan bekalan ternakan Qurban yang sihat dan segar, bolehlah hubungi Admin blog
-Admin-


AQIQAH UNTUK ANAK

Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: 
"Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu."
-(Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)-
Ibnu Majah menerangkan maksud "... terpelihara dengan aqiqahnya..." (pada mafhum hadis diatas) adalah bahawa aqiqah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba menghilangkan daripadanya melakukan kebaikan.

Daripada Salman bin Amir al-Dhabley, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Untuk anak lelaki itu aqiqahnya. Tumpahkan atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya kekotoran dan najis."
-(Riwayat Abu Daqud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)-
Menurut Imam Ahmad bin Hambal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum diaqiqahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang tuanya diakhirat kelak.

HUKUM AQIQAH
  • Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
  • Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.
  • Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah Baginda s.a.w. diangkat menjadi Rasul.
  • Anak zina, aqiqahnya sunnat atas ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Syaikh Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunnat bagi ibu mengaqiqahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.
  • Anak lelai disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)
HUKUM-HUKUM YANG LAIN BERKAITAN DENGAN QURBAN DAN AQIQAH
  • Jika menyembelih qurban sendiri hendaklah berniat: "Aku jadikan binatang ini qurban untuk diriku kerana Allah Ta'ala" dan seumpamanya, atau jika penyembelihan aqiqah berniat : "Aku jadikan penyembelihan binatang ini sebagai aqiqah untuk anakku kerana Allah Ta'ala."
  • Jika untuk tolong kepada orang lain maka hendaklah berakad iaitu dengan dua cara:
1) Secara wakil, maka orang yang mewakilkan berkata: "Aku wakilkan atas diriku untuk menghasilkan penyembelihan qurban untuk diriku (atau aqiqah untuk anak ku...)."Orang yang menerima wakil menjawab: "Aku terima sebagai wakil untuk menghasilkan penyembelihan qurban untukmu (atau aqiqah untuk anakmu...)."   (PERINGATAN: Orang yang menerima wakil hendaklah melaksanakan penyembelihan dan tidak boleh diserahkan tanggungjawab menyembelih kepada orang lain).

2) Secara menyerahkan tanggungan dengan berkata: "Saya meletakkan atas zimmah tanggungan tuan untuk menghasilkan penyembelihan qurban untuk ku (atau aqiqah untuk anakku)." (PERINGATAN: Penerima jika tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diterima, boleh diserahkan kepada orang lain untuk menyempurnakan penyembelihan untuk orang-orang yang berakad tadi).
  • Daging qurban sunnat disedekahkan kepada fakir miskin atau dihadiahkan kepada orang yang mampu dalam bentuk masih mentah tetapi aqiqah sunnat dimasak dengan masakan jenis manis seperti kurma, kicap dan sebagainya.
  • Binatang unta, lembu atau kerbau boleh dikongsi sebhagian untuk qurban dan sebahagian untuk aqiqah.
  • Disunnatkan tulang-tulang binatang qurban itu tidak dipatahkan atau dipecahkan sama ada oleh orang yang mengaqiqahkan atau yang memakannya. Cuma hendaklah diceraikan pada setiap persendian tulang. Sekiranya dipecahkan juga maka tidaklah pula makruh, tetapi khilaf aula (yakni bersalahan dengan yang utama).
  • Daging aqiqah atau qurban atau mana-mana bahagian dari binatang (seperti kulit, tulang dan sebagainya) tidak boleh dijadikan upah kepada orang yang menyembelih dan orang-orang yang menguruskan pemotongan. Upah untuk mereka jika diperlukan, maka hendaklah diberi dalam bentuk wang atau harta benda yang lainnya.
  • Orang kafir tidak boleh diberi makan daging aiqah atau daging qurban, sekiranya telah diberi umpamanya sekilo, maka wajib diganti dengan daging yang lain untuk memenuhi daging yang kurang itu.
  • Daging atau mana-mana bahagian dari binatang qurban nazar atau aqiqah, haram dimakan atau diambil oleh orang yang melakukannya.
     Jika anda ingin mendapatkan bekalan ternakan Aqiqah yang sihat dan segar, bolehlah hubungi Admin blog
    -Admin-
QURBAN DAN AQIQAH BERAMAI-RAMAI

Sekarang ini ada pihak tertentu seperti Masjid, Surau atau badan kebajikan dan orang perseorangan menganjurkan majlis Qurban dan Aqiqah secara beramai-ramai. Pada dasarnya amalan ini baik demi menggalakkan masyarakat Islam melakukan kedua-dua ibadah yang sangat dituntut dalam Islam (Sunnat Muakkad). Namun yang demikian, beberapa syarat berikut ini hendaklah dipatuhi:
  • Pengurusan hendaklah dilakukan dengan betul, dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
  • Harga yang dikenakan hendaklah dinyatakan termasuk kos pengurusan (Penyembelihan, kenderaan, upah menyembelih, melapah dan sebagainya jika memerlukan upah).
  • Hendaklah diadakan aqad atau ijab dan qabul antara orang yang melakukan qurban atau aqiqah dengan pihak pelaksana (AJK Qurban/ Aqiqah atau AJK Masjid/ Surau/ Badan Kebajikan/ Orang perseorangan).
Jika anda berminat untuk memiliki blog seumpama ini, bolehlah berhubung dengan Admin
-Klik Sini-

Nabi-Nabi Mengembala Kambing

Nabi-Nabi Mengembala Kambing


Assalamualaikum...

Mari kita memerhati, mengapa Allah turunkan para Nabi-nabi dengan permulaan sebagai pengembala kambing.
Hikmah Allah jadikan para nabi sebagai pengembala Kambing

Allah mempersiapkan Rasulullah S.A.W menjadi pemimpin umat yang tidak berlepas tangan dan tidak bekerja, sehingga dapat menjadi contoh teladan umatnya. Demikian juga para Nabi.

Para Nabi Menggembala Kambing
Para nabi semuanya menggembalakan kambing sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W;

"Tidaklah Allah mengutus seorang nabi kecuali telah menggembalakan kambing." 

(HR. Bukhori dan Muslim)

Syaikh Muhammad bin Sholih Al Utsaimin rohimahumAllah menyatakan, Tidak ada seorang nabi yang diutuskanNYA kecuali menggembalakan kambing. Seluruh nabi yang Allah utus diperingkat awal adalah pengembala kambing, agar mereka mengetahui dan berlatih mengurus dan mengatur dengan baik. Allah mengatur kambing sebagai haiwan gembala mereka, kerana penggembala kambing akan mendapatkan ketenangan, kelembutan dan kasih sayang. Ini kerana menggembalakan haiwan ternak yang lemah, berbeza dengan penggembala unta, kerana penggembala unta lebih banyak memiliki kekerasan dan kekasaran. Ini memang kerana unta sendiri kasar, kuat dan keras. (Dinukil dari kitab As Siroh An Nabawiyah min Kalami Abdurrahman Nashir Al Sa’di dan Muhammad bin Sholih Al Utsaimin, disusun oleh Muhammad Riyaadh Ali Ahmad, Maktabah Al Rusyd, Halaman 14).

Sebagian mereka dikisahkan Allah dalam Al Quran, seperti kisah nabi Musa dalam firman Allah:
Berkata Musa: “Ini adalah tongkatku, aku bertelekan padanya, dan aku pukul (daun) dengannya untuk kambingku, dan bagiku ada lagi keperluan yang lain padanya.” 

(QS. Thohaa: 18)

Jelas dalam ayat ini nabi Musa menggembalakan kambing. Demikian juga Rasulullah S.A.W menggembalakan kambing sejak kecil dalam pemeliharaan ibu susuannya di pendalaman bani Sa”ad.

Menggembalakan Kambing di Bani Saad

Nabi Muhammad S.A.W mulai menggembalakan kambing sejak masih berada di pendalaman Bani Sa’ad ketika diasuh Halimah Al Sa’diyah dan dalam usia yang masih kecil. Hal ini diakui beliau sendiri ketika menyatakan: Ibu Susuanku dari bani Sa’ad bin Bakar, lalu aku dan anak ibu susuanku tersebut berangkat menggembalakan ternak kami tanpa membawa bekal, lalu aku berkata, Wahai saudaraku, pulanglah mengambil bekal dari ibu kita. Lalu ia berangkat dan aku tinggal bersama ternak. Lalu terjadilah kisah pembelahan dada beliau. (Lihat Al Bidayah wa An Nihayah, Ibnu Katsir 2/299 dan Imam Adz Dzahabi menyatakan dalam Sirohnya hal 48: Ini shohih. Lihat kitab As Siroh An nabawiyah Fi Dhou’i Al Mashodir Al Ashliyah, karya DR. Mahdi Rizqullah Ahmad, halaman 116-117)

Menggembalakan Kambing di Kota Mekkah


Semasa dibawah jagaan bapa saudara baginda pula, baginda banyak belajar tentang ilmu perniagaan dan juga menjaga ternakan bapa saudaranya yang lebih banyak dan lebih besar. Pastinya banyak ilmu dan pengalaman yang baginda timba, maka tidak hairanlah baginda berjaya didalam perniagaan.

"Tidaklah Allah mengutus seorang nabi kecuali telah menggembalakan kambing. Lalu para sahabat beliau bertanya: Demikian juga engkau?" Beliau menjawab: "Ya, Aku dahulu menggembalakan kambing milik seorang penduduk Mekkah dengan imbalan beberapa qiraath." (HR. Bukhori dan Muslim)

Beberapa Pengajaran dari Peristiwa Ini
Para Ulama menjelaskan beberapa hikmah dan faedah nabi dibina dan dilatih dengan menggembalakan kambing. Di antaranya:


Pertama, melatih Nabi menjadi seorang yang tenang dan memiliki ketahanan dalam menghadapi kesulitan-kesulitan hidup. Demikian juga melatih beliau agar menjadi orang yang sabar, lemah lembut, penyayang, memperhatikan nasib yang lemah yang didapatkan dari bergaulnya beliau dengan binatang yang lemah seperti kambing.
 

Kedua, menggembala kambing dapat memberikan beberapa sifat baik, di antaranya:
  1. Sabar, sebab penggembala dituntut menunggu dan menjaga serta mengawasi binatang gembalaannya sejak matahari terbit sampai tenggelam, sehingga dapat melatih kesabarannya. Hal ini dapat dilihat dari lambatnya kambing makan, sehingga penggembala memerlukankan kesabaran tinggi menghadapinya. Demikian juga dalam melatih manusia.
  2. Sifat tawadhu (rendah hati).
  3. Kasih sayang dan kelembutan terhadap yang lemah, sebab penggembala harus dapat membantu dan merawat kambing tersebut bila sakit atau patah tulang atau yang lainnya.
  4. Cinta usaha dan mandiri.
  5. Kekuatan tubuh, akibat tempaan alam tempat beliau menggembalakan kambingnya.
  6. Keberanian.
  7. Kecekapan mengatur dan mengendalikan urusan.

Ketiga, Al Hafidz Ibnu Hajar menyatakan, Para ulama menyatakan hikmah dari dibinanya para Nabi dengan menggembalakan kambing sebelum kenabian adalah agar mendapatkan dengan menggembala tersebut latihan menanggung amanat yang akan mereka pikul berupa melatih dan mengurusi umatnya dan juga kerana bercampur dengannya akan memberikan kepada mereka sifat sabar dan penyayang kerana mereka jika sabar menggembalakannya dan mengumpulkannya setelah bercerai berai di tempat penggembalaan dan menggiring mereka dari satu padang rumput ke padang rumput lainnya serta melindungi mereka dari serangan binatang buas dan yang lainnya. Mereka juga mengetahui keragaman tabiat mereka dan sangat mudahnya bercerai berai padahal mereka lemah dan perlu penjagaan akan menjadikan mereka sabar mengurus umatnya.

Sejarah Ibadah Qurban

Sejarah Qurban

 Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
(Al-Maidah 5:27)

Assalamualaikum 

Eid-Ul Adha merupakan hari raya yang lebih utama didalam islam, persiapan untuk mendapatkan haiwan qurban juga semakin rancak di kala menjelma Eid-Ul demi untuk mencari keredhaan Allah. Di samping kita sibuk dengan amalan ibadah qurban kita, adakah kita masih ingat lagi sejarah asal qurban itu sendiri. Ramai antara kita yang tahu tetapi mungkin terlupa. Mari kita imbas kembali kisah yang diabadikan oleh Allah di dalam Al-Quran untuk renungan bersama. Kalau saya ada tersilap di dalam penulisan ini, mohon pencerahan daripada ahli yang lebih fasih. InsyaAllah.


Sejarah Pada Zaman Nabi Adam A.S

Menurut riwayat sejarah yang tidak diragukan lagi kebenarannya (Al-Qur’an), ibadah Qurban pertama kali ada dan dilaksanakan adalah pada masa nabi Adam As. Yang dilakukan oleh kedua puteranya yakni Qabil dan Habil. Keturunan nabi Adam As. yang lahir selalu kembar, diantaranya yakni Qabil dengan Iqlima dan Habil dengan Lubada. 

Maka Allah memerintahkan kepada nabi Adam As. untuk menikahkan anak-anaknya dengan cara bersilang. Yakni Qabil akan dinikahkan dengan saudari kembar Habil (lubada), begitupun sebaliknya. Namun oleh kerana Qabil keras kepala dan kurang taat terhadap perintah ayahnya, maka dia menolak perintah tersebut, dengan alasan dia ingin dinikahkan dengan saudari kembarnya sendiri yakani Iqlima yang lebih cantik dari Lubada, maka dengan bijak nabi Adam memerintahkan mereka berdua untuk melakukan upacara qurban, dengan ketentuan qurban yang diterima maka dialah yang menang dengan kata lain akan dinikahkan dengan Iqlima. 

Qabil dengan keterpaksaan yang ada, menyerahkan hasil berkebunnya berupa buah-buahan dan sayur mayur. Sedangkan Habil dengan hati yang ikhlas  dan penuh kerelaan menyerahkan seekor haiwan dari hasil mengembalaannya. Setelah upacara dilaksanakan, ternyata Allah lebih memilih seekor haiwan yang diberikan oleh Habil dengan penuh rasa ikhlas dan kepasrahan. Dari sinilah mengapa makna ibadah qurban adalah Taqarrub Ilallah.

Sejarah Pada Zaman Nabi Ibrahim A.S 

Adapun, yang kedua adalah kisah kemulian Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Dari beberapa riwayat diceritakan, Nabi Ibrahim As. adalah seorang ketua keluarga dan telah membina bahtera rumah tangga begitu lama hingga menginjak masa tua. Bahtera rumah tangga yang selalu dihiasi cinta kasih sayang bersama isterinya Siti Sarah. Isteri tercinta yang selalu dapat mengisi kekurangan dan kesepian yang mendera dalam kehidupan. Namun ada suatu kekurangan begitu mendasar yang menjadikan bahtera rumah tangga itu terasa kurang. Walaupun telah dihiasi dan ditaburi dengan cinta kasih sayang yang tak terkira ukurannya. Dan kekurangan inilah yang selalu diharapkan akan kedatangannya, yakni suara tangis buah hati tercinta. 

Begitu lama nabi Ibrahim As. memimpikan mempunyai keturunan yang kelak akan meneruskan perjuangannya menyebarkan ajaran yang hanif. Nabi Ibrahim As. menanti kedatangan putera yang dinanti-nantikan, namun Allah belum juga mengabulkan permintaan tersebut. Namun dengan kepasrahannya Nabi Ibrahim As. tetap sabar menghadapi cubaan itu. Dengan umur yang semakin lanjut dan rambut yang sudah mula memutih Nabi Ibrahim As. tiada henti-hentinya berdoa kepada Allah agar mendapatkan keturunan.  
“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) termasuk orang-orang yang saleh.”
-(QS. as-Shaffat : 100)

Allah yang Maha Mengetahui dan Pemurah akhirnya mengabulkan permintaan Nabi Ibrahim As tersebut. Beliau diberikan seorang putera kemudian diberi nama Ismail. Namun Ismail lahir bukan dari rahim Siti Sarah melainkan dari rahim Siti Hajar isteri kedua nabi Ibrahim As, yang juga merupakan hamba beliau. Dengan kedatangan buah hati tercinta ini beliau sangatlah berbahagia. Hampir seluruh waktunya sehari-hari ia habiskan dengan Ismail. Segala bentuk kasih sayang beliau curahkan terhadap Ismail, sebagai bukti bahwa Nabi Ibrahim As. sangat bersyukur atas kemurahan yang diberikan Allah kepadanya. Beliau mengajar dan mendidik Ismail sampai berusia aqil baligh secara langsung, dengan harapan suatu hari nanti Ismail dapat menggantikannya sebagai salah satu utusan Allah. Hingga pada suatu saat datanglah suatu ujian kepada Nabi Ibrahim, ujian atas kecintaan dan kasih sayangnya tersebut. Allah menguji beliau dengan cubaan yang begitu berat yakni suatu perintah yang disampaikan melalui mimpi (ru’yah shadiqah).

Ujian yang seolah meremukkan hatinya. Ujian yang begitu memilukan jiwa dan fikirannya. Mungkin beliau akan lebih memilih ditimpa dengan seribu gunung dari pada harus melaksanakan perintah suci ini. Yaitu perintah untuk menyembelih Ismail putera tunggal beliau. Seorang putera yang telah ditunggu-tunggu kedatangannya. Seorang putera yang mengisi segala hidup, menjadi inspirasi dan kekuatan beliau dalam berdakwah dalam menyampaikan ajaran yang hanif. 

Namun secara tiba-tiba Allah menyuruh beliau untuk menyembelihnya, dengan datangnya tanda-tanda perintah menyembelih Ismail melalui mimpi itu sebanyak tiga kali. Ini seperti suatu tindakan yang mustahil beliau lakukan. Bagaimana mungkin beliau akan menyembelih buah hatinya, buah cinta kasih sayangnya, yang beliau impi-impikan begitu lama. Bagaimana mungkin seorang ayah mampu membunuh putera terkasihnya, putera yang akan menggantikan tugas mulia dari seorang utusan Allah.

Namun dengan segala kecintaan, kepasrahan dan ketaqwaannya kepada Allah ‘Azza wa Jalla nabi Ibrahim begitu yakin akan melaksanakan perintah tersebut. Dengan berat hati beliau sampaikan perintah tersebut kepada Ismail putera tersayangnya. Seperti yang di abadikan Allah dalam firman-Nya.
“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata; “Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!, Ia menjawab; “Wahai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah  engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”
(QS. as-Shaffat : 102)

Dengan persiapan yang begitu rapi, baik tempat dan pisau yang sudah diasah tajam. Maka Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail sudah bersedia untuk melaksanakan tugas suci dari Allah ini. Namun sebelum tugas dilaksanakan, Syaitan Laknatullah mengetahui perihal tersebut dan mengganggu mereka supaya membatalkan perintah yang begitu berat itu. Dengan segala cara syaitan mulai memujuk mereka bertiga, tapi dengan segala keyakinan mereka tidak terpujuk sama sekali. Malah sebaliknya Nabi Ibrahim bersama Siti Hajar dan Ismail melempar syaitan tersebut dengan batu, yang menjadi tradisi melempar jamrah dalam ibadah haji hingga sekarang.

Ketika pisau sudah ditengkok Ismail dan siap untuk menembusi kerongkong, dengan memejamkan mata dan menyebut nama Allah, Nabi Ibrahim mengayunkan pisau dileher Ismail. Namun ketika pisau telah menembusi leher yang dapat dirasakan oleh nabi ibrahim, beliau menjadi hairan. Ismail yang tidak mengeluarkan suara sama sekali, dan apabila beliau membuka mata, sekali lagi keajaiban terjadi, sebelum Nabi ibrahim menyembelih Ismail, Allah mengantinya dengan seekor kambing besar. Hal ini yang membuat Nabi ibrahim lebih cinta dan bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla.

Demikianlah 2 kisah Qurban yang di kisahkan di dalam kitab suci Al-Quran sebagai pedoman kepada kita. Berqurbanlah dengan seikhlas hati untuk mencari KEREDHAAN ALLAH.

Untuk perkhidmatan bekalan daging SEGAR  [Klik]

Panduan Lengkap Melaksanakan Aqiqah


PENGERTIAN ‘AQIQAH
  • ‘Aqiqah ialah sembelihan binatang an‘am yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah subhanahu wata‘ala. 
HUKUM MELAKUKAN ‘AQIQAH
  • Hukum melakukan ‘aqiqah ialah sunnah mu’akkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing. Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.
 WAKTU PELAKSANAAN ‘AQIQAH
  • Waktu melakukan ‘aqiqah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdhal untuk melakukan ‘aqiqah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak tersebut. 
  • Sabda Rasullullah sallallahu ‘alayhi wasallam:
كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ , وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى .

Maksudnya:
"Setiap bayi itu tergadai dengan ‘aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama"
(Riwayat Abu Daud)
SYARAT ‘AQIQAH
  1. Berniat ‘aqiqah ketika menyembelih.
  2. Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya serta sampai umur. 
 PERKARA SUNAT SEMASA ‘AQIQAH
  1. Berdoa semasa hendak menyembelih: 
     بِسْمِ اللهِ ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ عَقِيْقَةٌ ... (sebut nama anak)
    Maksudnya:
    "Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini ‘aqiqah…"
  2. Menyembelih ketika matahari sedang naik.
  3. Daging ‘aqiqah dimasak terlebih dahulu sebelum disedekahkan.
  4. Tidak mematah-matahkan tulang-tulang daripada binatang ‘aqiqah, hanya mencerai-ceraikan sendi-sendinya.
  5. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.
  6. Memasak daging ‘aqiqah dengan cara gulai manis untuk dihidangkan kepada tetamu. 
PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN KETIKA MENYAMBUT KELAHIRAN ANAK
  1. Mengazankan ditelinga sebelah kanan anak yang baru lahir.
  2. Membaca iqamah ditelinga sebelah kirinya. 
  3. Membaca doa di kedua-dua belah telinganya, contohnya membaca surah Al-Ikhlas. 
  4. Menyapu lelangit kanak-kanak tersebut dengan benda-benda yang manis seperti buah tamar atau pisang.
  5. Menamakan kanak-kanak tersebut dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kelahirannya. 
  6. Mengadakan jamuan dan doa kesyukuran sempena kelahirannya.
  7. Mencukur rambut kanak-kanak tersebut selepas menyembelih ‘aqiqah untuknya.
  8. Memberi sedekah emas atau perak seberat rambut kanak-kanak yang dicukur itu atau wang yang sama nilai dengan emas atau perak tersebut. 
  9. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.
HIKMAH ‘AQIQAH
  1. ‘Aqiqah mengandungi beberapa hikmah, antaranya:
  2. Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.
  3. Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah.
  4. Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikan. 
  5. Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat dengan keluarga yang dikurniakan anak.
  6. Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah.
 PERBEZAAN ANTARA ‘AQIQAH DAN QURBAN

Terdapat beberapa perbezaan antara ‘aqiqah dengan qurban: 
  1. ‘Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan qurban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya ‘Aidil Adha hingga 13 Zulhijjah.
  2. Daging ‘aqiqah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging qurban hanya boleh diberi kepada fakir miskin. 
  3. ‘Aqiqah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala qurban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Isma‘il.
  4. Daging qurban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging ‘aqiqah sunat disedekahkan
 Jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan kami bolehlah hubungi Admin
-Admin

Khasiat Susu Kambing

Assalamualaikum
Pada hari ini kami akan kongsikan sedikit artikel dan fakta tentang khasiat susu kambing. Allah S.W.T menciptakan sesuatu dengan kelebihan dan maksud masing-masing, namun kita bukanlah meletakkan yakin ke atas makhluk, Allah jualah yang berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

Susu Kambing adalah makanan semulajadi berkhasiat yang diperlukan untuk kesihatan badan seharian. Ianya sesuai untuk semua lapisan umur. Susu ini boleh diminum panas atau sejuk malah boleh dibuat dadih, ais krim, keju dan mentega. Pada masa sekarang industri kosmetik mengeluarkan berbagai produk berasaskan susu kambing seperti syampu, krim muka, sabun, pewangi dan juga krim pencukur. 

KEISTIMEWAAN SUSU KAMBING · 
  • Susu terbaik selepas susu ibu 
  • Kaya dengan protin, enzim dan vitamin A 
  • Tidak menyebabkan alahan 
  • Kuatkan sistem imunisasi 
  • Bersifat alkali 
  • Tingkatkan daya kepekaaan, tumpuan dan ingatan 
  • Lancarkan sistem penghadaman dan usus 
  • Membantu mengubati kanser, demam kuning, gastrik, ulser, asma(lelah), penyakit kulit dan sukar tidur
  • Membantu merawat sengugut, darah tinggi, lemah jantung, kencing manis, batuk kering dan gout 
  • Imbangi gula dalam darah dan kolestrol 
  • Menguatkan jisim tubuh yang sihat(tulang, gigi, otot, sendi, kulit dan tisu saraf 
  • Memulihkan tenaga batin 
  • Awet muda
 Jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan kami bolehlah hubungi Admin
-Admin

Susu Jamnapari Dieksport

BATU PAHAT 6 Nov. – Un Keng Farming Sdn. Bhd. (UKFSB) di Parit Yaani, dekat sini bakal menjadi pengeluar dan pengeksport susu segar kambing jamnapari di Malaysia tidak lama lagi. Selain pasaran tempatan, syarikat itu juga merancang untuk mengeksport susu keluaran mereka ke beberapa negara Timur Tengah. Antara negara yang dikenal pasti berpotensi besar sebagai pasaran produk keluaran UKFSB itu ialah Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi serta Arab Saudi. 

Pengarah Urusannya, Goh Un Keng, berkata, untuk itu, UKFSB akan membelanjakan RM4 juta untuk menyedia serta meningkatkan kemudahan pengumpulan dan pembotolan susu di kilang pengeluarannya. Tambahnya, sehingga ini, pihaknya sudah membelanjakan RM2 juta bagi membeli beberapa peralatan berteknologi tinggi antaranya mesin penyedut serta kemudahan penyimpanan susu dari Jepun dan Taiwan. “Kita juga merancang membelanjakan RM2 juta lagi bagi meningkatkan pengeluaran, termasuk menambah jumlah kambing betina,” katanya. 
 Jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan kami bolehlah hubungi no yang tertera
-Admin
Katanya lagi, penggunaan teknologi tinggi itu adalah perlu bagi memastikan produk keluaran syarikat menepati standard antarabangsa yang ditetapkan negara pengimport. Goh berkata, mesin pembunuh kuman atau pasteur dan homogen di UKFSB itu, adalah yang pertama di negara ini dan kini pihaknya sedang menunggu pengiktirafan beberapa institusi piawaian. 
Antara institusi piawaian yang dipilih untuk menilai kualiti produk keluaran UKFSB itu ialah Moody International dan Pemeriksaan Veterinar di Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Goh juga memberitahu, susu kambing segar keluaran UKFSB turut mendapat pengiktirafan dan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 

Tambahnya lagi, susu kambing Jamnapari keluaran syarikatnya itu agak berbeza daripada susu kambing lain kerana ia mengandungi banyak khasiat serta berbau harum. ‘‘Antara khasiat utama susu kambing Jamnapari segar ialah ia tiada bahan pengawet, mengatasi penyakit demam kuning serta mengandungi faktor anti barah dan radang sendi,” jelasnya kepada Utusan Malaysia. 
Bagi tujuan pemeriksaan kualiti dan standard, contoh susu keluaran UKFSB turut dihantar ke makmal veterinar Johor sebulan sekali. Setakat ini katanya, UKFSB mampu menghasilkan kira-kira 280 liter susu kambing segar sehari dan usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan kapasitinya kepada 600 liter sehari. Goh berkata, antara langkah yang diambil bagi mencapai matlamat berkenaan, ialah menambah jumlah kambing betina di ladang ternakan milik UKFSB serta mendapatkan bekalan daripada 20 penternak kambing Jamnapari di kawasan sekitar. 

Tambahnya buat masa ini UKFSB mempunyai 240 ekor kambing jamnapari yang boleh menghasilkan susu segar dan masih ada 3,000 ekor kambing jamnapari yang sedang membesar. Beliau menambah, buat masa ini permintaan terhadap susu segar kambing jamnapari melebihi penawaran, dan UKFSB memerlukan 600 ekor kambing jamnapari yang boleh mengeluarkan susu segar untuk menampung permintaan tempatan dan luar negara pada masa akan datang.
Kami juga membekalkan baka-baka kambing yang berkualiti, dan khidmat nasihat untuk ternakan, untuk maklumat lanjut bolehlah hubungi admin
-Admin
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Templete Lama - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger